Coretan pada hari Jumaat 14 Mei 2010 jam 1.55 pg
Terlintas di kotak fikiran untuk menulis catatan ini ketika aku gagal melelapkan mata. Entah mengapa hatiku dirundung rasa sedih,pilu dan macam-macam lagi. Perasaanku bercampur baur. Tidak dapat ku tafsirkan bagaimanakah ia. Mungkin kerana sebelum mataku menjalankan tugasnya seperti biasa, aku telah minum nescafe sampai dua cawan. Tetapi aku tidak merasakan ini adalah penyebabnya. Selalunya aku boleh saja melelapkan mata sehingga lenaku diulit mimpi-mimpi indah. Tapi, tidak untuk malam ini. Tanpaku sedari kelibatnya singgah di mindaku. Terbayanglah saat masih bersamanya. Hatiku berbunga riang tapi ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Keriangan dan kegembiraan yang ku kecapi hanyalah untuk sementara waktu. Namun aku redha dengan semua yang telah berlaku. Pasti ada hikmah disebalik apa yang terjadi. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukannya. Ketika ini, perlahan-lahan tanpaku sedari setitis demi setitis manik-manik jernih tumpah jua akhirnya. Bukanlah niat dihati untuk menjaja kisah peribadiku namun meluahkan segala isi hati yang terpendam di blog "Secangkir Kasih Bidadari" membuatkan aku lega. Meluahkan perasaanku di blog ini dengan titisan air mata. Satu benda yang aku tidak berapa suka. Tapi, apakan daya. Kata orang hati perempuan sangat lembut. Umpama sekeras-keras kerak nasi apabila dijirus air akhirnya lembut juga. Air mata perempuan sangat murah. Mudah menumpahkan air mata. Tapi, itulah caranya wanita untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Gementar di hati bukan saja disebabkan result exam yang akan diumumkan tidak lama lagi tetapi kisah silam yang datang menjengah di fikiranku. Kusutnya perasaan hanya Dia saja yang tahu. Selama ini aku pandai simpan dan sorok apa yang aku sedang hadapi. Buat pertama kalinya, aku gagal. Perasaan berkecamuk. Hati memberontak. Menanggung segala-galanya seorang diri memang aku tidak mampu. Hanya kepada-Nya tempat untuk aku bermohon dan mengadu. Aku tempuhi semuanya seorang diri dengan tabah. Alhamdulilah aku masih mampu. Tapi, tidak untuk saat ini. Aku rasakan gagal untuk mengawal perasaan ini. Sebolehnya aku ceriakan diri ini walaupun hatiku remuk. Menyembunyikan semuanya. Bertopengkan kegembiraan disebalik kesedihan yang melanda jiwa ini. Sukar untuk aku tafsirkan dan luahkan disini. Aku hanya mampu coretkan bait-bait ini yang terkandung dan tersirat sejuta makna dalam hatiku. Ya Allah, kuatkanlah semangatku agar aku dapat menerima hakikat ini. Kau pinjamkanlahku kekuatan Mu agar aku dapat meneruskan kehidupanku di muka bumi Mu ini. Aku tidak tahu dengan siapa lagi untuk aku mengadu. Aku keliru. Mujurlah aku masih mempunyai keluarga yang amat aku sayangi. Merekalah tempat untuk aku hilangkan sebentar rasa resah gelisah yang sering kali bertandang di hati ini. Mengenalinya adalah satu anugerah dan peristiwa yang sangat indah dalam hidupku selama aku bernafas di muka bumi Allah ini. Nur Nazreen seindah nama dan sebaik lelaki yang pernah ku kenali. Namun kasihku hanyalah cuma secangkir kasih buatmu. Hubungan jarak jauh yang telah dijalinkan hanya mampu bertahan cuma setahun lebih. Sayangnya cuma berputik dan kembang buat seketika umpama kembangnya bunga seri pagi dan apabila sang mentari muncul maka kuncuplah ia. Aku hargai segalanya yang telah kau berikan. Walaupun cuma sesaat kau hadir dalam hidupku, namun ku rasakan ia masih mekar sepanjang masa semekar kuntuman mawar di taman. Hatiku goyah. Namun ego yang bersarang dihati membuatkan aku menafikan perasaanku sendiri terhadapnya. Tidak pernah sekalipun aku menyesal kerana mengenalinya. Kerana dia, aku telah banyak belajar erti kehidupan di dunia yang penuh dengan ranjau ini. Penuh dengan sifat rendah diri, baik hati dan budi bahasa yang sangat tinggi dalam dirinya. Apakan daya. Jodoh tidak kesampaian. Pernah ku katakan padanya, agar tidak terlalu mengharapkan perhubungan ini berlanjutan kerana aku tidak mahu dia terus mengharap dan akhirnya kecewa. Sudah ku jangkakan ia pasti akan terjadi. Jangkaan ku ternyata tidak meleset. Berlaku sedikit perselisihan faham antara kami. Aku sudah sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, ego lelaki yang terlampau tinggi dan tidak mahu mengalah menyebabkan aku mohon untuk mengundurkan diri yang hina ini. Mungkin dengan cara ini ku rasakan dapat menjernihkan apa yang telah berlaku. Bukan niatku untuk melarikan diri daripada masalah. Tidak sama sekali! Bukan prinsip hidupku melarikan diri daripada masalah. Tetapi, ini sajalah jalan yang aku lihat agar hati ini tidak terus disakiti. Cukuplah saja buat kali ini. Tidak tertanggung rasanya beban di bahu. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Perpisahan adalah satu peristiwa yang paling tidak aku gemari. Namun, apakan daya itu semua adalah lumrah kehidupan. Genap setahun sebulan usia perkenalan antara aku dan dia, kata sepakat telah dicapai. Maka, terputuslah hubungan yang terjalin atas dasar sayang antara satu sama lain. Masing-masing meneruskan kehidupan dan membawa haluan sendiri tanpa diiringi gelak tawa serta rasa sayang yang senantiasa mekar. Hari demi hari, aku belajar untuk melupakannya. Pada mulanya memang sukar bagiku untuk melupakan dia. Apakan tidak. Dia cinta pertamaku. Hidupku dikelilingi sahabat-sahabat yang amat aku sayangi tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan dorongan untuk aku terus hidup tanpa dirinya. Aku cuba sedaya upayaku menghakis perasaan sayangku terhadapnya. Ya, akhirnya dapat juga ku singkirkan perasaan ini. Telah ku buang perasaan ini jauh-jauh. Tidak akan ku benarkannya untuk singgah buat kali kedua. Aku sayang diriku ini. Aku tidak mahu diriku merana hanya kerana dia. Biar apa pun yang telah terjadi, hidup ini perlu diteruskan. Kehidupan tanpa pancaroba tidak mencabar bahkan menjadikan hidup kita suram bagaikan mentari yang tidak terbit pada hari itu. Hidup kita ini ada turun naiknya. Aku percaya. Hidup ini bagaikan roda yang sering kali berputar tanpa henti. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Jika terhentinya roda itu daripada berputar, maka hidup kita tidak ada ertinya. Aku berjaya tempuhi kehidupan ini berkat sokongan daripada sahabat-sahabat dan doa yang aku panjatkan kepada-Nya. Perlu adanya graf kehidupan dalam hidup ini. Umpama graf electrodiagram yang setia berada disisi pesakit. Setiap kali degupan jantung berdegup, setiap kali itu juga ia akan naik. Ia akan terus naik dan turun selagi manusia masih lagi bernyawa. Begitu juga dengan kehidupan kita. Ada pasang surutnya. Namun janganlah ia terjadi apabila graf itu mendatar tanpa puncak maksimum dan minimumnya. Ini bermakna jantung berhenti berdegup dan nafas terhenti buat selamanya. Lenyap sudah perjalanan kita di muka bumi ini. Aku berharap agar diriku tidak seperti apa yang digambarkan. Kehidupan masih panjang dan perlu diteruskan. Banyak lagi yang perlu aku tempuhi. Tidak perlu rasanya untuk aku meratap kisah yang telah terjadi. Kisah lama ku biarkan ia tersimpan kemas dalam lipatan kronologi sejarah hidupku. Telah lama ku tutup buku ini. Tidak sanggup lagi untuk aku menyingkapnya walaupun buat seketika. Amat memeritkan jiwa ini. Biarlah peristiwa lalu menjadi kenangan abadi yang terpahat dalam memoriku. Tidak larat lagi buatku untuk mengungkitnya. Hatiku sudah sekian lamanya tertutup buat insan yang bernama Nazreen. Tiada lagi ruang untuknya walaupun sebesar zarah. Ku biarkan hatiku ini diketuk oleh insan yang lebih layak darinya. Lelaki yang baik hanyalah untuk wanita yang baik dan begitu juga sebaliknya. Aku percaya segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh Nya. Aku terima seadanya. Aku hanya mampu berdoa dan bertawakal kepada Nya. Sebelum aku menoktahkan ayat yang terakhir, ku titipkan rasa terima kasih ku buat insan yang pernah ku sayangi tidak lama dahulu.
Terima kasih kerana telah menemaniku walaupun hanya sesaat,
Tapi bagiku sangat bererti…
Maafkan jika kebahagiaan yang ku minta adalah teman sepanjang hidupku,
Seharusnya aku mengerti bahawa keberadaanku bukanlah di sisimu,
Hanyalah lamunan dalam sesal..
Untuk kekasih yang tidak akan pernah kumiliki…
Noktah terakhir, jam 4.10 pg